Monday, October 12, 2009

penderaan pembantu rumah

KES PENDERAAN PEMBANTU RUMAH PERLU PENYELESAIAN TERBAIK ANTARA MAJIKAN & PEMBANTU RUMAH
Unit Siswi KARISMA (SISMA), sebuah sayap mahasiswa wanita dibawah Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA) menggesa kerajaan Malaysia mengambil tindakan pantas menyelesaikan isu amah yang timbul sejak kebelakangan ini. Malaysia telah sekian lama mengambil pembantu rumah dari negara seberang ini bagi membantu keluarga yang memerlukan amah untuk menguruskan hal ehwal rumah. Kesibukan ibu bapa di Malaysia bekerja di siang hari telah menjadikan amah sebagai salah satu alternatif membantu menguruskan rumah di siang hari apabila keluar /semasa bekerja dan di malam hari apabila mereka pulang untuk berehat.
Kerajaan dan pihak berwajib seperti Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA), persatuan bukan kerajaan dan pihak majikan kepada amah juga harus meneliti dengan baik apakah punca-punca permasalahan yang berlaku dikalangan amah dan majikan sehingga beberapa kes penderaan, penganiayaan dan bunuh diri telah mendapat liputan sejak kebelakangan ini. Adalah diakui kes penderaan amah bukanlah sesuatu yang menjadi kebiasaan dikalangan keluarga di Malaysia yang mengambil amah bekerja, namun kes-kes kecil ini sudah cukup memberikan impak sehinggakan kerajaan Indonesia menimbangkan untuk menghentikan pembantu rumah dari republik itu ke Malaysia buat sementara waktu sehingga kerjaan Malaysia mengambil tindakan susulan. Langkah Jabatan Tenaga Kerja menubuhkan unit khas membantu amah yang didera perlu dipastikan pro-aktif dan berkesan dalam menangani permasalahan ini.


Pertemuan antara kedua-dua belah pihak, iaitu Malaysia dan Indonesia perlu diteruskan dan penyelesaian yang segera perlu dicapai berhubung kes ini. Cadangan dari Pengerusi Persatuan Bocehe Dewe untuk memberi keutamaan kepada penempatan amah beragama Islam dengan keluarga Muslim juga harus dikaji bersama dan dilihat apakah ia suatu jalan penyelesaian untuk mengurangkan kes penderaan ini. Cadangan persatuan ini adalah berikutan kes seorang pembantu rumah Islam warga negara Indonesia bernama Siti Hajar Sadli yang mendakwa telah didera oleh majikannya termasuk memberi makan babi yang bertentangan dengan agama Islam.

SISMA memandang serius terhadap penderaan-penderaan yang menafikan hak wanita Islam mengamalkan ajaran Islam seperti memberi makan makanan yang dilarang dalam Islam, tidak membenarkan amah menunaikan ibadah solat lima waktu, tidak membenarkan amah menutup aurat dan membaca Al-Quran sekiranya mereka ingin melakukannya meskipun mereka hanya dianggap sebagai pembantu rumah sahaja.

SISMA juga dalam masa yang sama memahami situasi majikan-majikan yang antara lain telah serik dengan perbuatan amah dari Indonesia membohongi mereka dan mengambil kesempatan terhadap layanan baik yang telah diberikan. SISMA menyarankan agar perkara ini diselesaikan dengan baik antara majikan dan pembantu rumah dengan mengadakan perbincangan yang membawa kepada manfaat kepada kedua-dua pihak. Sekiranya layanan yang baik tidak dihargai oleh amah-amah ini, maka majikan seharusnya mengambil tindakan yang tegas berlandaskan undang-undang yang adil dengan melaporkannya kepada pihak berwajib.

SISMA juga menyarankan agar pihak Kementerian Sumber Manusia dapat menyediakan buku panduan kepada pihak majikan agar dengan ini pihak majikan mengetahui apa tindakan yang perlu dilakukan terhadap amah yang melakukan kesalahan-kesalahan dan bertepatan dengan undang-undangdi Negara ini. Pihak kami memuji usaha baik kementerian dalam menyediakan buku panduan kepada amah yang mengandungi hak-hak dan perlindungan undang-undang. Selain itu, kursus induksi yang diwajibkan terhadap pekerja asing sebelum memulakan pekerjaan di Malaysia juga perlu dilihat kembali keberkesanannya kepada semua pihak.

Dengan gesaan dan penyelesaian yang dicadangkan oleh SISMA, adalah diharapkan pembantu-pembantu rumah dari Indonesia dan majikan-majikan di Malaysia berada dalam suasana kekeluargaan yang bahagia. Terdapat banyak keluarga di Malaysia telah menjadikan amah dari Indonesia sebahagian dari ahli keluarga mereka sendiri. Selain dari komunikasi yang berkesan antara mereka, pembantu rumah juga menerima layanan sebaiknya seperti dibawa bersama membeli belah, pulang ke kampung halaman majikan ketika cuti, diberi gaji pada waktunya, dibenarkan untuk rehat pada waktu yang sepatutnya dan diberi peluang menelefon ke kampung halaman.

Kisah-kisah pengurusan pembantu rumah yang berkesan oleh majikan dalam masyarakat kita juga perlu dikongsikan agar kisah-kisah positif mengenai majikan dan pembantu rumah ini mendapat liputan yang baik.

No comments:

Post a Comment